Thursday, 9 March 2017

Ustaz Hanafiah.

'Saya tenang menghadapinya...'

Kuala Lumpur: "Saya anggap ini hadiah daripada Allah SWT dan saya tenang menghadapinya. Kalau kimoterapi nanti buat saya lemah hingga ceramah dibatalkan, saya rasa rugi sebab cita-cita saya nak mati ketika menyampaikan ceramah agama."

Demikian kata penceramah bebas, *Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 43, selepas disahkan menghidap kanser Limfoma* pada 31 Januari lalu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hanafi berkata, kesakitan mula dirasai ketika menunaikan umrah pada Disember lalu.

"Saya pergi ke klinik kerana gastrik sebelum dirujuk ke hospital untuk membuat ultrasound dan imbasan CT.

"Pembedahan membuang sel kanser sebesar 10 sentimeter panjang kali 7 sentimeter lebar dengan berat 1 kilogram kemudian dilakukan di hospital swasta 1 Februari lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, doktor menjangkakan kemungkinan sel kanser itu sudah berada dalam badannya sejak 10 tahun lalu tetapi tidak disedarinya.

Ustaz Hanafi bagaimanapun enggan 'duduk diam' dan meneruskan aktivitinya seperti biasa.

"Aktiviti seperti ceramah saya teruskan macam biasa sebab saya tak ada rasa sakit cuma penat sedikit mungkin belum sembuh sepenuhnya.

"Program di TV9 (Tanyalah Ustaz) juga masih berjalan. Kadangkala saya membantu penerbit mencari golongan ingin kembali ke pangkal jalan," katanya yang juga Penasihat Rumah Anak Yatim Fakir Miskin Al Habbah di Batu Caves, Selangor.

Beliau juga sedang giat mengumpul dana RM300,000 untuk membina surau di rumah kebajikan yang memfokuskan pembelajaran tahfiz itu.

Di samping itu, beliau juga sebenarnya memerlukan bantuan kewangan untuk menampung *kos rawatan kimoterapi antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi sembilan sesi.*

"Saya dengan perasaan malu dan terharu, kalau ada yang ingin membantu... sebab saya anggap 'hadiah' daripada Allah ini mungkin ada hikmah.

"Siapa membantu... saya doakan murah rezeki dan di tambah rezeki. Sahabat juga dalam kesusahan, jadi saya doa murah rezeki dan mendapat syurga paling hampir dengan Allah SWT," katanya mengenai usaha rakan terdekat membantu mengumpul dana untuk dirinya.

Ustaz Hanafi yang aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi juga berhasrat untuk menjual motosikal kesayangannya model Kawasaki GTR1400.

"Saya nak jual motosikal itu lepas pakai empat tahun. Tujuannya untuk tanggung kos rawatan saya. Jadi selepas ini saya pakai motosikal kecil saja.

"Kepada semua, doakan saya sembuh daripada penyakit ini dan harapnya kimoterapi nanti tidak menyebabkan saya lemah,” katanya yang *mempunyai sembilan anak* dan menetap di Taman Sri Gombak, di sini.

Beliau akan memenuhi undangan ceramah pada minggu depan di Kulim, Kedah; Ipoh, Perak dan Air Hitam, Johor.

Sesiapa yang ingin membantu boleh *salurkan sumbangan* ke akaun *CIMB* 7001645436, *Maybank* 162405085541 atau *BANK ISLAM* 14162020096634 (Mohamed Hanafiah bin Abdul Malek).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:14 PM

http://www.hmetro.com.my/node/210333

Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda "Barangsiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit, Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutup aib seseorang, Allah pun akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya, selama hamba tersebut menolong saudaranya."

[Riwayat Muslim dalam Sahihnya, no. 2699]

No comments:

Post a Comment